Siapa ‘VIP’ Dihati Fida Sekarang ?


Ada V.I.P sedang mendekati Fida

TAHUN 2011 merupakan tahun yang telah memberi impak yang cukup besar kepada Fida Ibrahim sehinggakan namanya acap kali menjadi sebutan di kalangan peminat hiburan tempatan.

Jika sebelum ini dia dikenali sebagai artis yang bersih daripada sebarang cerita panas, kini semuanya mulai berubah apabila sudah ramai yang memperkatakan tentang dirinya terutama yang membabitkan isu kontroversi.

Bermula dengan kisah percintaan yang terjalin antara dia dengan Mohd. Noor Murad atau Mamat yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Sepah, sehinggalah dia dikritik hebat kerana tidak lagi tampil dengan ciri-ciri gadis muslimah.

Malah, sekeping gambarnya tidak bertudung dan telah dimuat naik oleh Mamat menerusi laman Facebook ternyata mengejutkan ramai terutamanya peminat dan seterusnya ia menjadi punca dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan pelawak berkenaan.

Bangkit daripada hujan kritik yang menimpanya, Fida menegaskan bahawa sehingga kini dia masih lagi bertudung dan segala perubahan yang berlaku ke atas dirinya itu adalah sekadar mengikuti perkembangan fesyen.

“Saya tahu ramai yang telah mengkritik saya terutamanya menerusi laman-laman blog hiburan tentang penampilan saya sekarang. Sebenarnya apa yang saya lakukan ini semata-mata ingin mencuba sesuatu yang baharu terutamanya melalui penampilan menerusi gaya dan fesyen yang terkini.

“Sebagai seorang artis sudah tentu saya tidak mahu terus tampil dengan imej yang sama. Cuma saya sedar ada segelintir pihak tidak puas hati dengan penampilan saya sekarang kerana tidak lagi tampil dengan imej bertudung seperti dahulu,” tegasnya.

Tambah Fida, dia sendiri cuba mengelak untuk memperkatakan dengan lebih lanjut tentang aurat, namun memberitahu dia masih lagi kekal menutup kepala dan berharap agar peminat dapat menerima perubahan tersebut.

Pada masa yang sama, dia juga menafikan sekeras-kerasnya tanggapan sesetengah pihak mengenai perubahan yang dilakukannya sekarang itu adalah semata-mata mahu mencari publisiti murahan supaya orang lebih mengenali dirinya.

Ujarnya, segala kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya itu dianggap sebagai satu tamparan yang cukup hebat sepanjang berkecimpung dalam dunia seni dan mengakui agak tertekan dengan apa yang menimpa ke atas dirinya itu.

“Mulanya saya ada membaca komen-komen negatif yang dilemparkan dan secara jujurnya saya memang amat kecewa. Bagi saya masing-masing ada hak untuk membuat kritikan, tetapi yang cukup mengecewakan saya apabila ada yang bertindak keterlaluan.

“Kalau mereka memberi kritikan yang membina terutamanya tentang kerjaya, saya masih lagi boleh menerimanya. Namun apa yang membuat hati saya terguris apabila ada yang sanggup menggunakan kata-kata kesat,” luahnya.

Meskipun pada awalnya berasa sedih dan kesal dengan apa yang berlaku, Fida mengakui dia kini sudah dapat menerima hakikat bahawa bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang terutama tentang perubahan terhadap dirinya itu.

Menurutnya, dia sangat bersyukur kerana terus mendapat sokongan daripada ahli keluarga dan segala yang berlaku ke atas dirinya itu ternyata tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus bergelar anak seni.

“Saya menganggap semua yang berlaku itu ada hikmahnya dan setakat ini saya masih lagi menerima tawaran untuk berlakon dan mengacara walaupun terus dikaitkan dengan isu-isu kontroversi,” ujarnya.

Tidak terikat

Pastinya sudah ramai yang mengetahui tentang hubungan cinta yang terjalin antara Fida dan Mamat yang telah putus setelah menjalin hubungan cinta dalam tempoh yang agak singkat.

Mengenai status dirinya ketika ini, Fida memberitahu, setelah hubungan percintaannya putus di tengah jalan, dia mengambil keputusan untuk tidak terikat dengan mana-mana lelaki buat masa ini.

“Sebenarnya selepas hubungan saya dan Mamat putus memang ramai lelaki yang cuba mendekati saya seperti di kalangan artis dan orang biasa. Malah, saya akui pernah cuba didekati golongan VIP.

“Walaupun ramai yang cuba untuk menjalinkan hubungan serius, tetapi rasanya biarlah sekarang saya solo dahulu. Cuma saya tidak nafikan yang kini agak rapat dengan seseorang,” jelasnya.

Menurut Fida, jejaka tersebut adalah seorang ahli perniagaan dan mereka berdua sebenarnya sudah lama saling mengenali iaitu sebelum dia menjalinkan hubungan cinta dengan Mamat lagi.

Ujarnya, selama ini hubungan mereka hanyalah sekadar teman biasa sahaja. Namun, selepas apa yang menimpa dirinya telah menyebabkan hubungan mereka kini menjadi lebih rapat.

“Selepas hubungan cinta saya gagal serta dikritik ramai pihak, dialah lelaki yang banyak memberi dorongan dan semangat kepada saya. Itu yang menyebabkan kami rapat dan saya memang selesa berkawan dengannya.

“Apa yang boleh saya katakan setakat ini kami masih lagi berkawan dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Lagipun kami belum pernah berbincang untuk menjalinkan hubungan yang serius,” ujarnya.

kosmo

Post a comment or leave a trackback: Trackback URL.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: