Remy Ishak Akan Menikah dengan Tiz Zaqyah ?


Selamat berbahagia pasangan ‘suami isteri’ Nur Kasih

Kisah dongeng percintaan antara pelakon Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sudah digembar-gemburkan sejak pasangan ini disatukan menerusi drama Nur Kasih. Sejak dari awal penggambaran drama sehinggalah memasuki layar perak filem Nur Kasih The Movie, mereka sering disogok soalan cepumas mengenai hubungan mereka. Ini kerana mereka sering dilihat bersama, ditambah dengan kemesraan yang ditunjukkan.

Kisah hubungan cinta pasangan ini mula terus menjadi bualan hangat apabila kelibat mereka dilihat berpegangan tangan ketika menyaksikan acara MotoGP di Sepang tahun lalu. Tidak sekadar itu mereka juga sering dilihat keluar bersama-sama.

Terbaru, Tiz Zaqyah dikatakan hadir ke lokasi penggambaran untuk bertemu kekasihnya itu dan aksi ‘suap-menyuap’ menguatkan kisah cinta mereka berdua.

Baik Remy Ishak mahupun Tiz Zaqyah, kedua-duanya hanya tersenyum dan menafikan ada cerita lain di sebalik kemesraan itu. Itulah ‘jalan selamat’ pasangan ini untuk menutup cerita mereka.

Akhirnya persoalan itu menemui jawapan apabila Remy Ishak atau lebih mesra dengan panggilan Remy yang mengakui dirinya sudah dilamun cinta. Ini sudah pasti berita gembira buat peminatnya yang sekian lama mahu melihat Remy terus bahagia.

Jawapan ringkas itu sekali gus melenyapkan segala spekulasi dan teka-teki buat aktor yang diberi julukan Hero Malaya oleh sutradara, Erma Fatima.

Pengakuan jujur itu lebih manis apabila gadis yang berjaya menambat hatinya adalah ‘isterinya’ menerusi drama Nur Kasih iaitu Tiz Zaqyah.

“Ya, saya dan Tiz sudah melalui fasa kedua dalam hubungan kami. Pada awalnya saya memang tidak mahu bercerita mengenai hal ini memandangkan kami masih lagi di tahap mengenali hati budi dengan lebih rapat antara satu sama lain.

“Tambahan, kami masih di peringkat awal, apa yang penting, hubungan kami berjalan baik. Sebelum ini, ada juga yang sudah tahu mengenai hubungan kami, namun kami tidak berselindung apabila bertemu,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem muzikal 29 Februari, di Stadium Merdeka

Ditanya mengenai kesahihan cinta mereka sudah lama berputik, Remy hanya tersenyum. Mengakui seorang yang romantik dalam bercinta, Remy berharap hubungan yang baru dibina ini akan berakhir dengan khabar gembira.

“Sebagai ‘public figure’, setiap perilaku artis sudah tentu menjadi perhatian. Saya tidak ambil pusing dengan apa orang cakap. Bagi saya, selagi apa yang saya buat tidak melanggar batas, tidak ada salahnya. Buat masa ini saya tumpukan pada kerjaya saya sahaja,” katanya.

Perkara sama turut dinyatakan pelakon yang baru meningkat naik Tiz Zaqyah. Tidak kisah apabila Remy mendedahkan hubungan mereka, baginya hubungan mereka berada pada tahap ‘selesa’.

“Saya pernah katakan sebelum ini, jika benar kami rapat, kami akan mengaku. Cuma orang sekeliling perlu bersabar kerana kami juga mahu melalui proses yang normal seperti orang lain. Berkawan, bercinta dan seterusnya.

“Saya harap pengakuan Remy itu dapat memuaskan hati semua. Sebagai seorang wanita pula, tentulah saya mengharapkan hubungan ini akan berkekalan hingga ke akhirnya dan diredai,” kata Tiz kepada Zass.

Pengalaman mengajar

Teraju utama filem Cun tidak pernah menafikan berkawan baik dengan Tiz, namun tidak mahu terlalu menggembar-gemburkannya kerana ia masih terlalu awal. Malah Remy menganggap faktor sekeliling banyak mengajarnya untuk lebih tertutup untuk menceritakan perihal peribadi kepada umum.

“Kalau boleh, saya tak mahu sangat kisah cinta diberi tumpuan kerana macam-macam boleh berlaku. Saya jenis orang yang pentingkan perhubungan dan tak suka bercinta putus dan sebagainya.

“Saya tak mahu disebabkan terlalu terbuka bercerita soal percintaan, jika perkara itu tidak berakhir, ia akan memalukan banyak pihak,” katanya.

Remy berkata, faktor sekeliling seperti kes hubungan yang terhenti di tengah jalan serta pengalaman ibu bapanya bercerai memberi pengajaran supaya lebih berhati-hati untuk memilih teman hidup.

“Memanglah pada usia 29 tahun ini kita dah berfikir mengenai perkahwinan. Calon sudah ada dalam tangan, cuma nak lihat perkembangannya lagi.

“Saya akui terlalu memilih kerana pengalaman ibu bapa saya yang bercerai. Saya tak mahu kahwin dan cerai, kerana bagi saya biarlah hanya berlaku sekali sahaja dalam hidup. Saya juga tak mahu anak-anak terbiar disebabkan perceraian tersebut,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Tidak suka bertanding

Bukan mahu memuji namun Remy adalah antara pelakon pelapis hebat ketika ini. Sesiapa sahaja yang mengikut drama Nur Kasih beberapa tahun lagi, tentu masih terkesan dengan watak Adam yang meruntun jiwa.

Justeru, tidak hairanlah andai dia terus menjadi rebutan penerbit atau pengarah yang mahukan wajahnya menghiasi filem mahupun drama.

Maka disebabkan hasil kerjanya yang tidak pernah mengecewakan itu, dia dikatakan antara calon kegemaran yang bakal menerima anugerah pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2011 yang berlangsung pada minggu hadapan.

Bagaimanapun, ketika diajukan pertanyaan kepadanya, tanpa berselindung Remy menegaskan, tidak selesa baginya untuk bertanding dalam mana-mana majlis anugerah.

“Apabila saya mengatakan yang saya tidak gemar dipertandingkan, bukan bermakna saya berlagak ataupun takut pada kekalahan. Sebaliknya, saya tidak suka pada tekanan yang terpaksa dihadapi. Jika saya menang, pastinya harapan terhadap saya akan menjadi lebih tinggi. Jika tewas, lagilah ia memberi tekanan kepada saya.

“Saya sebenarnya lebih suka jika hasil kerja saya itu mendapat maklum balas dan komen secara langsung tanpa mengira kritikan atau pujian. Ia sudah memadai bagi saya,” katanya yang dicalonkan menerusi filem Nur Kasih, Cun! dan juga telefilem Air Mata Salina serta Masihkah Ada Sinar.

29 Februari cabar kemampuan diri

Bercerita mengenai projek terbarunya, 29 Februari, Remy berkata, filem arahan Edry Abdul Halim itu sangat mencabar buatnya, meskipun berpengalaman membintangi filem sebelum ini, filem ke-12 lakonannya ini membawa dimensi baru dalam kariernya.

“Saya perlu membawa lima karakter berlainan iaitu masa remaja, dewasa dan tua kerana Budi digambarkan hanya meningkat umur setiap empat tahun iaitu pada 29 Februari.

“Jadi saya perlu mendalami setiap karakter itu dan bermain dengan emosi supaya ia nampak berlainan. Bukan setakat luaran yang berubah-ubah, jiwa dalaman juga harus bergerak sama kerana saya mahu penonton merasai jiwa Budi,” katanya.

Remy berkata, dia begitu bersyukur kerana berpeluang bekerjasama dengan Edry kerana filem ini juga memerlukan Remy menyanyi.

“Jika hendak lihat bagaimana hasilnya, datanglah tonton filem ini di pawagam kelak,” katanya.

Selain 29 Februari, filem lakonannya yang turut disiarkan pada tahun depan ialah Aku, Kau dan Dia, King Kapcai, Azazil, dan Jiwa Taico.

Biarpun memegang watak sebagai teraju utama, Remy berkata setiap filem yang dijayakan itu, berlainan dari segi watak dan jalan cerita.

Remy juga mengakui akan bercuti sehingga hujung tahun, namun tidak menolak jika ada tawaran yang menarik.

Kembali berganding

Drama dan filem Nur Kasih dikatakan menjadi medan pengikat hubungan mereka. Namun, bagi peminat yang merindui penampilan Remy dan Tiz bersama, kerinduan itu akan terubat kerana pasangan bahagia ini akan bergandingan menerusi drama terbaru arahan Kabir Bhatia berjudul Cinta Pergi.

Baik Remy mahupun Tiz keduanya mengakui teruja untuk kembali bergandingan bersama kerana kali terakhir berlakon bersama menerusi Nur Kasih The Movie.

“Gandingan ini tentunya akan menyeronokkan, tetapi bukan kerana kami mengaku bercinta, sebaliknya kami sudah lama tidak berganding bersama.

“Bila menyentuh soal kerja, kami tentunya akan menumpukan pada kerja dan tidak mahu mencampuradukkan soal kerja dan peribadi,” kata Tiz.

Soffiya beri sinar baru

Jika dibandingkan dengan pelakon seangkatannya, karier Tiz bergerak agak perlahan dan hanya muncul menerusi beberapa drama bersiri dalam masa setahun.

Malah setakat ini, dia hanya pernah membintangi filem Nur Kasih. Meskipun sudah lima tahun berkecimpung, Tiz menegaskan dia masih baru dan tidak terlalu terkejar-kejar untuk berlakon pelbagai drama mahupun filem.

Namun, setiap kali muncul, karakter yang dijayakan Tiz tidak pernah mengecewakan dan meninggalkan impak kepada penonton.

Selepas Nur Amina, drama bersiri Soffiya dikatakan memberi anjakan paradigma yang baru buat Tiz.

“Sebab utama saya mengambil watak Soffiya adalah kerana mahu mencabar kemampuan sendiri. Watak dirogol bapa sendiri dan bebanan emosi yang ditanggung selepas itu membuat saya tidak berfikir panjang untuk memberi persetujuan. Soffiya adalah cabaran baharu buat saya sebagai seorang pelakon.

“Sebab itu saya mahu peminat saya bergerak bersama saya kerana setiap masa saya akan meneroka watak-watak baharu untuk mencabar dan mempertingkatkan kualiti saya sebagai seorang pelakon,” kata gadis berusia 23 tahun ini.

Sh

Post a comment or leave a trackback: Trackback URL.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: