Pakar: Ahli kimia ‘sembunyi’ maklumat DNA ketiga
Pakar DNA Australia, Dr Brian McDonald mengulangi kenyataannya bahawa terdapat kemungkinan pencemaran dari sampel yang diambil dan diuji, namun telah diabaikan oleh ahli kimia Dr Seah Lay Hong.
Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan peguam Ram Karpal ketika disoal balas dalam perbicaraan kes fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
DNA itu ditemui menerusi calitan kapas B9 yang diperolehi dari kawasan rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan dan tuala putih yang diperolehi daripada sel Anwar ketika beliau ditahan semalaman di Bukit Aman.
Dalam jawapannya Dr McDonald berkata, berdasarkan ujian Dr Seah jelas menunjukkan kehadiran DNA ketiga, tetapi dia memilih untuk mengabaikannya.
“Dalam ujian forensik, ujian lanjut perlu dibuat untuk mengenal pasti sama ada wujud pencemaran, namun ia tak dilakukan oleh Dr Seah.
“Dr Seah juga tidak mengikuti garis panduan makmal dan mengabaikan penyumbang lain yang hadir dalam sampel DNA. Saya masih belum melihat apa-apa dokumentasi yang menunjukkan sumber DNA.
Apabila ditanya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengapa ujian itu perlu, Dr McDonald menjawab kerana lebih banyak ujian diperlukan bagi mengenal pasti milik siapa DNA itu (pada 18 allele).
“Kedua-dua mereka (Seah dan Nor Aidora) tidak menawarkan apa-apa penjelasan mengapa ujian lanjut tidak dilakukan.” kata McDonald kepada mahkamah.
Pada sesi lalu Dr McDonald berjaya membongkar bahawa sperma yang ditemui berusia lebih 98 jam dengan tidak disokong jurnal perubatan.
Manakala sampel yang diambil doktor Hospital Kuala Lumpur tidak disimpan di dalam peti sejuk mengikut prosedur, bahkan disimpan 4 hari sebelum diambil ahli kimia.
Beliau yang merupakan penilai makmal forensik turut memberitahu mahkamah, makmal di Petaling Jaya tidak mendapat akreditasi antarabangsa ISO 17025 seperti mana standard yang diperlukan mengikut American Society of Criminal Laboratory Directors (ASCLD).
Bukan bukti saintifik
Sementara itu, peguam Sankara Nair berkata, keseluruhan proses ekstrak terhadap bukti DNA telah rosak, justeru andaian bahawa DNA itu berpunca dari sperma adalah salah.
“Andaian yang dibuat tidak berdasarkan kepada bukti saintifik, dan tanpa asas. Sepatutnya ada hitam putih, bukan dibuat secara separuh-separuh.
“Maka, kita tidak boleh mengesahkan DNA lelaki Y yang dikatakan itu berpunca dari sampel sperma,’” kata Sankara.
Kd