Debat KJ VS Mat Sabu di Kubu PAS


Khairy terima jemputan debat, sedia bertemu Mat Sabu di kubu Pas

Khairy Jamaluddin menerima cabaran berdebat berhubung kenyataan kontroversi Mohamad Sabu, yang menyentuh tragedi Bukit Kepong dan desakan bertubi-tubi agar dikaji semula fakta sejarah, dan bersedia untuk bertemu di kubu kuat PAS di Kelantan.

Ketua Pemuda Umno ini berkata beliau telah menerima jemputan yang dipanjangkan oleh kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

“Saya akan berada di sana,” kata Khairy menerusi mesej Twitter semalam sambil menambah, jemputaan untuk berhadapan dengan Timbalan Presiden PAS itu sudah pun diterima.

Salinan jemputan yang diperoleh The Malaysian Insider menyebut debat itu akan berlangsung di Balai Islam, Kota Baru akhir bulan ini.

Meskipun surat itu mengatakan bahawa pentadbiran Kelantan masih membuat persiapan untuk membawa Mohamad berdebat dengan Khairy, Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu The Malaysian Insider, beliau mahu berhadapan dengannya.

“Tidak perlu mencari lokasi berkecuali. Sarang singa anda. Jumpa di sana, Mat Sabu,” kata Khairy (gambar) lagi menerusi Twitter.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada ia debat yang disyorkan oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam memandangkan Khairy berkata jemputan itu datang terus daripada kerajaan Kelantan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Tuan Ibrahim berkata, PAS bersedia untuk berbahas dengan Umno berhubung kontroversi tragedi Bukit Kepong dan fakta sejarah negara — yang kini menjadi senjata terbaru parti Melayu itu untuk menyerang kepimpinan Mohamad.

Tuan Ibrahim berkata, ramai pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah termasuk Muhammad Indera atau Mat Indera, salah seorang yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong.

“Mat Indera dan ramai para pejuang kemerdekaan yang tidak diiktiraf dalam sejarah yang telah menjadi fokus utama serangan media perdana pro-Umno kepada PAS memerlukan satu penyelesaian konkrit.

“PAS berasa simpati kepada kesan mendalam kepada waris Mat Indera dan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang lain yang bangun menentang penjajah tetapi jasa mereka digugurkan dan tidak diiktiraf dalam sejarah akibat terpaksa menanggung pelbagai tuduhan liar ‘pejuang-pejuang pertahanan sejarah versi Umno’ tanpa ruang untuk menjawab,” katanya.

Tambah beliau, atas dasar menghormati hak rakyat untuk membuat pertimbangan dan penilaian sendiri melalui hujah-hujah daripada kedua-dua pihak, PAS melalui Lujnah Penerangan akan menghantar surat jemputan kepada Ketua Penerangan Umno dalam masa terdekat bagi menganjurkan satu perbahasan umum ilmiah untuk menangani isu “Siapakah layak digelar pejuang kemerdekaan sebenarnya?” dalam sejarah tanah air sebelum negara merdeka.

Kelmarin, Pergerakan Pemuda Umno mengumumkan program jelajah negara yang dikenali sebagai Pentas Patriot untuk menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Mohamad ketika satu ceramahnya di Pulau Pinang 21 Ogos lalu.

tmi

Post a comment or leave a trackback: Trackback URL.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: