Bongkar : Epilog Cinta UDA dan Dara di Penang


Kau laksana bulan,tinggi diatas kayangan..

Hatiku telah kau tawan,hidupku tak keruan…

oh bibit syair P.Ramlee masih mengimbau kenangan lalu, 37 tahun dulu  bapa ‘Bumi Hijau’ atau sebagai Bapa Pembangunan Malaysia Tun Abdul Razak telah sudi memberikan impaknya secara peribadi untuk pembangunan Melayu Tanjung Tok Kong.

Kisah penuh ranjau ini juga sudah memakan masa yang agak lama.Sekiranya pada tahun itu seorang bayi dilahirkan, maka sekarang ini beliau sudah pun dewasa.Alangkah indah vision Tun Abdul Razak untuk warga Melayu Tanjung Tok Kong.

Tetapi hakikatnya janji dan vision Tun menjadi ‘duri’ bagi Malayu itu semua.Adakah sejarah akan terus akan berulang bagi melayu di Pulau Mutiara itu?..jawapan itu ada pada pendokong Melayu dan pejuang Melayu sekalian. Bukan kita bercakap soal melayu dengan meninggalkan islam, Melayu ini telah dihilangkan identiti mereka dek kerakusan merebut harta oleh pejuang melayu jugak!

Persoalan sekarang apakah kaedah terbaik untuk menyelamatkan semua melayu itu?

Jom kita tengok apa hasil Simposium Melayu tanjung Tok Kong…

Umno ,DEB dan Melayu Tanjung..oleh Ahmad Tajdid

BARU-BARU ini Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) menggesa masyarakat Melayu di negeri itu supaya mengukuhkan sokongan kepada BN agar gabungan Umno, Gerakan, MCA dan MIC negeri itu dapat kembali berkuasa di negeri itu bagi “mempertahankan hak orang Melayu yang dipinggirkan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP sekarang”.

Presidennya, Rahmad Isahak berkata pemimpin Melayu yang berada dalam kerajaan negeri sekarang ini terlalu takut untuk memperjuangkan hak orang Melayu.

“Terdapat dua orang pemimpin Melayu dalam exco kerajaan negeri tetapi mereka gagal membantu orang Melayu kerana terlalu sibuk bermain politik,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Rahmad berkata bahawa jika BN menang pada pilihan raya umum di negeri itu, orang Melayu akan mempunyai empat exco Melayu termasuk seorang Timbalan Ketua Menteri.

Katanya ini berdasarkan kepada senarai exco kerajaan BN sebelum ini.

Beliau berharap penduduk Pulau Pinang terutama orang Melayu supaya memikirkan dengan bijak semasa mengundi nanti demi masa depan sosio-ekonomi mereka.

“Setakat ini tiada langsung sumbangan daripada pemimpin Melayu dalam kerajaan pimpinan DAP sekarang untuk memperjuangkan kedudukan Melayu. Ini amat membimbangkan orang Melayu Pulau Pinang,” kata Rahmad.

Laporan Bernama itu memang menarik untuk diulas. Apatah lagi apabila ia berkaitan dengan nasib Melayu dan Bumiputera.

Sebelum DAP dan Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah Pulau Mutiara itu, Umno dan sekutu BN-nya telah mentadbir negeri itu lebih dari lima dekad. Dengan wakil yang ramai dalam kerajaan negeri dan diberi kerusi Timbalan Ketua Menteri, Exco kanan dan Exco negeri, Umno masih gagal meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu Tanjung.

Kegagalan Umno-BN ini nampaknya tidak menginsafkan Rahmad dan kongres yang dipimpinnya. Mereka tetap mahukan orang Melayu di negeri itu meletakkan harapan kepada parti yang selama ini telah mengkhianati amanah yang diberikan rakyat.

Tanpa mahu mengulas lanjut, diperturunkan kembali artikel berhubung nasib Melayu Tanjung bertajuk “UDA khianati DEB dan Melayu Tanjung” yang pernah disiarkan Harakah untuk renungan Rahmad, anggota KMPP dan Melayu Tanjung seluruhnya:

TIDAK banyak yang diperkatakan tentang nasib Melayu Tanjung (yang menetap di bahagian pulau, Pulau Pinang) ketika negeri itu ditadbir BN. Selama lebih lima dekad, topik perbincangan tentang Melayu Tanjung hanya berkisar tentang boria dan nasi kandar. Jarang perbincangan tentang nasib Melayu Tanjung dipaparkan media kerana ia perkara sensitif yang dikhuatiri meletakkan BN di ‘kandang orang salah’.

Hanya setelah Pulau Pinang beralih angin kepada Pakatan Rakyat, nasib Melayu Tanjung mula diperkatakan umum. Kerisauan berkisar tentang kerajaan negeri pimpinan DAP yang kononnya banyak mengetepikan kepentingan Melayu Tanjung. Benarkah dakwaan itu?

Wakil Harakah, AHMAD TAJDID dan MOHD SABRI SAID menemubual aktivis badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Pulau Pinang yang juga Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Tanjung Tokong, MOHD SALEH YAHYA bagi membongkar punca sebenar proses marginalisasi Melayu Tanjung khususnya isu pembangunan di penempatan Melayu di Tanjung Tokong. Pertemuan berlangsung di Masjid Negeri Pulau Pinang, 17 Mac 2011.

BAGI Mohd Saleh antara pihak yang patut dipertanggungjawabkan terhadap nasib Melayu Tanjung yang semakin terpinggir adalah Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA). Malah UDA yang ditubuhkan atas semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) ternyata gagal berfungsi sebagai agensi yang diberi tanggung jawab menyusun dan menempatkan semula Melayu di kawasan bandar.

UDA ditubuhkan pada tahun 1971 di atas semangat DEB manakala Tanjung Tokong adalah antara projek terawalnya. Kepentingan Tanjung Tokong dalam pelasanaan DEB, jelasnya dilihat apabila Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Husein sendiri turun padang melawat perkampungan itu pada 10 April 1972.

“Beliau sendiri mengumumkan rancangan kerajaan yang terbesar di sini.
Projek disasarkan selama 20 tahun dan menjelang 1990 dijangka selesai. Malangnya yang sebaliknya berlaku,” ujarnya.

Menurut Saleh, sepanjang tempoh itu, sejumlah 37 agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah dengan sengaja menggagalkan rancangan asal Tun Razak dan mengubah kampung asal Tanjung Tokong menjadi kampung yang kucar-kacir susun aturnya.

“Tanah diperolehi daripada kerajaan negeri Pulau Pinang dengan harga tukar syarat yang minima. Tujuannya untuk memulih, memperbaharui dan membangunkan semula kampung tradisi itu supaya sesuai dengan pola penghidupan di bandar.

“Selepas 37 tahun Kampung Warisan Melayu yang berusia 200 tahun lebih telah ditukar oleh UDA menjadi kawasan setinggan. Semuanya  berpunca daripada pengabaian, penyelewengan dan pengkhianatan UDA. Agensi dan GLC yang dipertanggungjawabkan telah mengkhianati DEB dan masa depan orang Melayu di Pulau Pinang,” jelasnya.

Menurut beliau, Tanjung Tokong sebenarnya boleh dipulihkan tetapi sengaja ditinggalkan kerana motif keuntungan. Apabila nilai tanah melambung, penduduk asal kampung itu dianggap tidak layak tinggal lagi di tapak asal dan perlu dipindahkan.

“Mereka dipaksa pindah kerana tanah itu mahu dibangunkan untuk projek komersial sedangkan pembangunan yang dirancang tidak dibuat untuk mereka,” kesal beliau.

Baginya, UDA telah melupakan tanggung jawab sosial untuk membantu Melayu Tanjung kerana badan itu telah diresapi unsur komersil dan kronisme.

“Kini UDA lebih menumpukan projek komersil yang memberi keuntungan dengan melupakan tanggung jawab sosialnya yang asal. GLC itu hanya bercakap dan bercakap sahaja. Hakikatnya projek untuk orang Melayu tidak ada.

“Tapak gerai penjaja untuk rakyat juga akan dilenyapkan bagi membina projek rumah kedai berharga jutaan ringgit. Sedangkan rakyat menuntut rumah kerana penduduk yang tidak berumah ramai bilangannya,” ujar beliau.

Apa yang dikesalkan, tambahnya sejak 1990 hingga kini, penduduk asal Tanjung Tokong dianggap sebagai antipembangunan, sedangkan UDA langsung tidak mempedulikan pembangunan di kampung itu.

“Penduduk dibiarkan membina rumah sesuka hati. Jadi stuktur dan susun atur kampung yang pada mulanya tersusun dibiarkan rosak dengan sengaja tanpa mengadakan peluang perumahan untuk rakyat yang terperangkap dalam trauma Melayu terpinggir,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan kegagalan UDA memanfaatkan kawasan tebus guna tanah seluas 54 ekar bagi projek penempatan penduduk sedangkan kawasan itu diperolehi atas alasan untuk membangunkan Kampung Tanjung Tokong.
“Nyata UDA tidak sama sekali membuat apa pun projek perumahan rakyat di atas tanah tebus guna tersebut hingga kini,” katanya.

Kini tambahnya, timbul pula isu baru apabila cadangan kawasan penempatan semula gerai penjaja Tanjong Tokong hendak dilenyapkan bagi memberi laluan kepada projek rumah kedai berharga jutaan ringgit.

Penduduk asal Tanjung Tokong, katanya mahukan perumahan dan kompleks niaga yang selaras dengan keupayaan mereka, bukannya projek rumah kedai yang tidak mampu dimiliki.

Beliau juga kesal dengan tindakan UDA mengisytiharkan tanah milik penduduk sebagai kawasan setinggan dan mengarahkan mereka mengosongkan tanah yang telah diduduki sekian lama.

“Tanah Kampung Tanjung Tokong kini bernilai ratusan juta ringgit dan bertaraf ‘prime area’ dengan harga RM400 hingga RM500 sekaki persegi.
“Langkah mengisytiharkan seluruh kawasan Tanjung Tokong sebagai kawasan setinggan bertujuan mengelakkan UDA daripada membayar sebarang pampasan kepada penduduk,” katanya kesal.

Sehubungan itu, beliau mewakili penduduk asal Tanjung Tokong mahukan perkampungan mereka dijadikan ‘kampung warisan’ kerana ia wujud sebelum kedatangan penjajah British.

“Sepanjang penglibatan UDA selama 37 tahun, ia langsung mengetepikan keperluan rakyat yang paling asasi. Sehingga kini Tanjong Tokong masih tidak mempunyai pasar, pejabat Pos, dewan orang ramai dan padang awam. Penduduk berniaga di atas jalan raya.

“Sebelumnya ada pasar, selepas penglibatan UDA ditiadakan. Itulah kejayaan terbesar UDA menghilangkan keperluan asasi penduduk,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya menuntut agar tanah tapak gerai Tanjong Tokong di kawasan tanah tebus guna laut di hadapan Masjid Qarwa diperuntukkan untuk pembangunan perumahan rakyat di bawah RMK10 dengan segala keperluan asas.

Menurut beliau, kini terdapat 1,500 kelamin yang tidak berumah di Tanjung Tokong.

UDA jelasnya, perlu memulangkan sebahagian tanah yang diperolehi dengan percuma kepada rakyat. Biarkan kerajaan melaksanakan sepenuhnya projek perumahan di bawah RMK-10.

“Jika peruntukan diberi kepada UDA mungkin akan disapu oleh kroni dan projek belum tentu terlaksana,” ujar beliau.

Beliau yakin kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mampu melaksanakan projek perumahan untuk rakyat yang gagal dilaksanakan UDA.

“Kerajaan perlu melaksanakan fungsi sosial dengan agresif di sini kerana pembangunan komersial yang mengetepikan peluang rakyat untuk terlibat sangat ketara.

“Rakyat yang telah terpinggir daripada arus pembangunan perdana kini akan dipinggirkan lagi dari kawasan asal penempatan mereka,” jelasnya.

Post a comment or leave a trackback: Trackback URL.

Comments

  • ayakmaidinserdang  On August 16, 2011 at 2:51 pm

    Sudah brapa lamanya BN memerintah , la DAP dah pegang baru KMPP nak ajak ampu BN ,sudah lah.Uda!!!.Cuba tanya sendiri apa UDA buat pada masa BN memerintah, tekan org melayu lg adalah.Tgk la di kawasan Pauh jaya ,UDa buat rumah teres semua >RM200k,Klu flat sri pauh dulu suruh turun caj perkidmatan pun tx blh. Tunggu PR13 bila PR naik ,UDA baru tau tang mana nak buat rumah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: