Polis Raba dan Ayak


PATHMANABHAN, Thilaiyagan (kanan) dan Matan (belakang kanan) keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Penyelam PGM guna teknik selaman, raba dan ayak cari bahan bukti

SHAH ALAM: Teknik selaman dan meraba di dasar sungai digunakan pasukan penyelam polis dari Unit Tempur Marin, Pasukan Gerakan Marin (PGM) dalam mencari bahan bukti kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, semalam.

Ketua Pasukan Satu, Unit Tempur Marin, PGM Wilayah Satu Marin Pulau Pinang, Koperal Merzuki Shahrim, 42, berkata teknik itu terpaksa digunakan apabila alat pengesan logam sentiasa berbunyi dan mengganggu pencarian berikutan dasar sungai berkenaan yang dipenuhi sampah sarap.

Merzuki berkata, pasukannya berjaya menemui beberapa bahan bukti termasuk objek dipercayai beberapa batang gigi dan serpihan tulang hangus menggunakan kaedah menyelam dan meraba di dasar sungai dari tebing ke tebing.

“Pada mulanya, saya menggunakan alat pengesan logam ketika pencarian kedua di Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah pada 14 September lalu, berikutan keadaan air keruh dan jarak penglihatan terhad, manakala dua lagi anggota, Lans Koperal Muhamad Hazriman Ismail dan Lans Koperal Kesatoper Wine ak Assan, menyelam di kawasan itu,” katanya.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin mengapa pencarian kedua dilakukan, Merzuki berkata, pegawai Forensik, Asisten Komisioner (ACP) Hussin Omar Khan, mahu mereka mencari dengan lebih teliti.

Saiful Edris: Boleh awak jelaskan mengapa beliau mahu pencarian lebih teliti?
Merzuki: Pemeriksaan awal dibuat teliti tetapi disebabkan keadaan air gelap, tidak semua kawasan diperiksa. Kali ini, buat sekali lagi untuk periksa.
Merzuki berkata, kira-kira jam 2.30 petang, Mohamad Hazriman menemui seutas jam iaitu jenis Bell & Ross milik peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pencarian dihentikan jam 4 petang.

Merzuki berkata, kira-kira jam 5.30 petang pada hari sama, mereka diarahkan ke sungai di Jalan Kenangan, Kampung Kelanang, untuk mencari bahan bukti, dan alat pengesan logam sekali lagi digunakan manakala Muhamad Hazriman dan Kesatoper Wine meraba di dasar sungai dari tebing ke tebing.

Beliau tidak menemui apa-apa sebaliknya Muhamad Hazriman dan Kesatoper Wine menemui enam keping zink yang ada kesan terbakar.

Terdahulu, Merzuki berkata, bahan bukti termasuk objek disyaki gigi dan serpihan tulang hangus ditemui pasukannya yang turut dianggotai Lans Koperal Mohd Shahril Sharif dan Lans Koperal Shapiwal Ameree Shapie, ketika menjalankan pencarian di Sungai Panchau; longkang berdekatan pintu kunci air Sungai Lang, berdekatan Pasar Besar Banting; jambatan di Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah dan di sebuah sungai di Jalan Kenangan, Kampung Kelanang bermula pada 12 September hingga 25 September lalu.

Katanya, beliau, Muhamad Haz- riman dan Kesatoper Wine menemui cebisan yang disyaki tulang hangus, serpihan logam yang ada kesan terbakar dan karat, beberapa utas dawai, sehelai karung plastik bertulis Tapioca, dua anak kunci dan sebilah pisau, dalam Sungai Panchau, ketika menyelam di kawasan itu pada 12 September lalu.

Merzuki berkata, beliau dan pasukannya menerima arahan daripada pegawai Forensik Superintendan Azari Abdul Rahman, yang memintanya mengekori konvoi polis ke Sungai Pachau dan membuat pencarian dalam sungai itu.

“Apabila saya sampai di kawasan yang dimaksudkan Azari, kami dapati kesan seperti objek arang hitam dan kesan terbakar di atas tebing sungai itu, dan beberapa kesan dawai juga ditemui.

“Selepas membuat pemeriksaan kedalaman air, saya dapati kami tidak perlu menggunakan alat menyelam kerana kedalaman hanya antara dua hingga tiga kaki,” katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Merzuki berkata, selepas memaklumkan mengenai tanda yang ditemui di tebing sungai, beliau meletakkan penanda yang dibekalkan Azari kepadanya.

Ditanya teknik apa yang digunakan, Merzuki memberitahu beliau dan pasukannya menggunakan teknik mengayak lumpur di kawasan itu menggunakan penapis selain meraba dasar sungai dan berjalan dari tebing ke tebing.

Beliau berkata, pencarian di Sungai Pachau pada 12 September dihentikan kira-kira jam 6 petang dan mereka ke lokasi kedua iaitu di kawasan longkang di pintu air Pasar Besar Banting.

Katanya, pada jam 7.15, beliau menemui telefon bimbit jenis BlackBerry warna putih milik Ahmad Kamil, manakala Hazriman menemui BlackBerry warna hitam milik pegawai bank, Noorhisham Mohamad, kira-kira tiga minit kemudian.

Merzuki berkata, pada 13 September lalu, beliau dan pasukannya mencari di kawasan jambatan Sungai Kanchong Laut di Kampung Endah, dan beliau menemui jam jenis Seiko Honda Racing Team, dalam sungai yang berair keruh itu.

Merzuki berkata, beliau dan pasukan juga berjaya menemui sejambak kunci di lokasi seterusnya di USJ Subang Jaya (kunci BMW milik Ahmad Kamil).

Beliau berkata, pada 15 September 2010, operasi Sungai Panchau, beliau dan anggota unit penyelam serta unit forensik diarah ACP Hussin membuat pemerhatian di sungai itu, bermula dari jambatan sehingga tepi tebing.

“Kami diarah membuat pencarian secara terperinci dengan mengayak dan menapis lapisan tanah (selut) di tempat yang sudah dibahagikan. Hasilnya kami menjumpai beberapa serpihan tulang dan logam yang ada kesan terbakar serta karat, beberapa batang ketulan disyaki gigi dan besi.

Merzuki berkata, pada 21 September 2010, pasukannya ke pintu kunci air Sungai Lang di Banting pada jam 3 petang dan kira-kira jam 4 petang, beliau menjumpai seutas gelang tangan berwarna keemasan, namun barang itu bukan yang dicari jadi disimpannya sebelum menyerahkan pada 22 September.

Merzuki berkata, pada 23 September 2010, jam 10 pagi pasukannya tiba di kawasan kunci air berhampiran longkang Pasar Besar Banting, dan menggunakan teknik sama namun tidak menemui apa-apa dan pencarian berakhir jam 12 lebih tengah hari.

Katanya, mereka ke kawasan itu sekali lagi pada 25 September 2010 dan menemui bateri telefon bimbit Blackberry.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Bernama

Post a comment or leave a trackback: Trackback URL.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: