Salih Yaakob “Naik Bengang” Pulak!



 Kisah perkahwinannya seperti tidak dihormati, jadi bahan senda dan jenaka berlebih-lebihanLEMAH nada suaranya di hujung talian. Jika sebelum ini tutur bicaranya sering disulami dengan lawan jenaka, tetapi ketika dihubungi Hip Isnin lalu, hanya keluhan yang kedengaran.

Semuanya gara-gara segmen selingan yang menampilkan dirinya bersama seorang pelakon komedi wanita, Nik Sayyidah atau Mek yang disiarkan menerusi program Maharaja Lawak peringkat akhir, Jumaat lalu.

Ada sesuatu yang terbuku dalam jiwa pelakon, pelawak, penyanyi, pengacara dan penyampai radio terkenal Salih Yaacob yang membuatkan dia marah, kecewa serta terkilan.

Tindakan Mek yang dilihat berlebih-lebihan dalam membangkitkan isu perkahwinan kali keempatnya itu berulang kali dalam program yang dipancarkan secara langsung itu membuatkan Salleh cukup bengang.

Bengang bukannya tidak boleh disentuh atau diusik kisah peribadinya, tetapi kerana pihak produksi tidak menepati janjinya untuk mempromosikan program bual bicara I Follow kendaliannya menerusi segmen selingan itu.

Menurut Salih, ketika dia diundang untuk menjayakan slot itu, tujuan asalnya adalah untuk memperkenalkan buah tangan terbarunya itu kepada khalayak. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Saya tak kisah isu perkahwinan saya itu diperkatakan, tetapi apabila ia sampai menenggelamkan tujuan asal segmen selingan itu dibuat membuatkan saya bengang dan kecewa.

“Terasa diri ini seperti diperbodoh dan dipersendakan mereka. Kalau betul mereka mahu saya berlawak soal perkahwinan, rasanya tak perlulah nak guna alasan mempromosikan program SY I Follow. Saya boleh berlawak macam biasa.

“Jika sekali dua isu poligami itu diperkatakan, saya boleh anggap itu sebagai gurauan, tetapi jika berterusan dijadikan bahan jenaka dan persenda, saya memang tak boleh terima kerana perkahwinan adalah satu ibadah. Apa perasaan pihak lain yang ada kaitan dengan perkahwinan saya ini?” pertikai Salih kembali.

Disebabkan sikap tidak peka mereka itu, Salih dalam getar suara penuh rajuk itu menegaskan dia seakan serik jika ada pihak yang menawarkan diri untuk mempromosikan programnya itu.

“Bayangkan, saya diberikan lebih kurang lima minit untuk mempromosikan program SY I Follow, tetapi disebabkan itu, kesempatan berkenaan tidak ada dan saya sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba pengacara AC Mizal muncul dan menyebabkan objektif slot selingan itu gagal mencapai matlamatnya.

“Saya sudah lama dalam bidang ini dan apabila diperlakukan seperti itu, saya terasa seperti pengalaman yang saya ada tidak dihargai. Terus terang, selepas ini saya sudah tawar hati jika ada pihak yang menawarkan diri untuk mempromosikan program saya itu. Kalau ada, adalah, saya tidak mahu terlalu mengharap,” katanya yang tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Melihat kepada gandingan Salih dan Mek, ternyata gabungan itu tidak begitu sesuai dan tiada keserasian antara keduanya. Ketika diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, lelaki berusia 50 tahun ini akur dengan kenyataan itu.

“Mek muncul dalam segmen itu bersama saya kerana dia juga terbabit dalam program SY I Follow itu. Begitupun, kalau hendak diikutkan, saya lebih suka jika digandingkan dengan Kak Engku ataupun Amy Mastura kerana kami pernah bekerjasama sebelum ini. Tapi produksi yang pilih, saya tidak boleh kata apa,” ujarnya sambil mengakui tidak mahu menonton kembali rakaman segmen selingan itu dek terlalu kecewa dengan hasilnya.

SY I Follow hasil populariti di radio

TIADA siapa yang dapat menafikan pengaruh Salih di radio nombor satu, Sinar FM sungguh besar. Jika tidak, masakan watak yang dimainkannya seperti Wak Jawa, Mak Neng dan Abang Jem cukup popular kepada pendengar setia stesen itu.

Disebabkan populariti watak itu yang semakin mencanak, karakter lucu itu akan dapat disaksikan di dalam program terbitan Global Station yang akan disiarkan di saluran Astro Warna, setiap hari Jumaat jam 9 malam bermula 8 Julai depan.

Bercerita panjang mengenai program itu, Salih berkata idea untuk menghasilkan sebuah program bual bicara seperti itu sudah lama ada dalam kepala, namun kesibukannya membuatkan hasrat itu terbantut begitu saja.

“Sebelum ini memang ramai yang minta saya hasilkan sebuah program bual bicara yang ada kaitan dengan diri saya sendiri. Jadi berdasarkan populariti karakter yang saya tampilkan dalam radio ditambah sambutan yang hangat diberikan oleh pendengar membuatkan saya rasa adalah elok jika karakter itu saya wujudkan dalam program ini,” katanya.

Terdapat beberapa segmen dalam program itu seperti I Follow, Betul Tak? Kembang Sa-Taman, Corat-Coret dan Lagu Merapu dan juga terdapat segmen yang akan memperkatakan topik semasa. Rancangan ini lebih berbentuk santai.

“Seperti judulnya SY I Follow, program ini lebih kepada untuk mengajak penggemar saya mengikuti apa saja perkembangan saya serta apa yang saya lakukan,” katanya yang turut mengundang selebriti dan personaliti popular sebagai tetamu undangan programnya itu.

Antara selebriti yang diundang termasuklah Nadia Mustaffa, Enot, Usop Wilcha, Jaafar Onn, Aziz M Osman, AC Mizal dan Linda Onn.

Selain terbabit dalam industri hiburan dan penyiaran, Salih berkata, dia kini sedang berjinak-jinak dalam dunia motivasi apabila sering diundang untuk menyampaikan ceramah.

“Sejak kebelakangan ini memang saya sering diundang untuk menyampaikan ceramah mengenai kehidupan berumah tangga dan amalan poligami. Saya tak kisah untuk berkongsi pengalaman dengan mereka kerana ia juga adalah satu cabang ilmu yang perlu dikongsi bersama.

“Saya juga mahu serius dalam bidang ini kerana sudah sampai masanya untuk saya mencari bidang baru selain bidang penyiaran yang saya ceburi ini. Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya mahu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan. Saya masih perlukan kedua-duanya,” katanya.

Post a comment or leave a trackback: Trackback URL.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: