Dulu lain sekarang lain,saya tak serang lagi Anwar : Mat Sabu
Mohamad Sabu yang dipilih sebagai timbalan presiden baru PAS menegaskan pendiriannya bahawa beliau tidak lagi menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun musuh politik beranggapan beliau tidak akan sebulu dengan Ketua Umum Pakatan Rakyat berdasarkan perkembangan dekad-dekad lalu.
Beliau mengakui pernah mengecam dan menyerang secara politik pada 1980-an dan 1990-an iaitu ketika Anwar masih berada dalam Umno.
“Pada masa 80, 90-an, Anwar dalam Umno. Dia mendokong dasar-dasar Umno. Sebab itu saya kecam.
“Kini, Anwar sudah beralih ke Pakatan, jadi kita sama-sama bekerjasama dalam satu pasukan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di akhir hari kedua Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini.
Mohamad yang mesra dikenali sebagai “Mat Sabu” memperoleh 420 undi untuk menewaskan penyandang Nasharudin Mat Isa yang hanya memperoleh 224 undi dan seorang lagi calon, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menerima 339 undi.
Anwar menyertai Umno 1982 dan dipecat pada September 1998.
Sejak 2008 Anwar mengetuai Pakatan Rakyat dianggotai PAS, DAP dan PKR.
Mengenai kecaman, Mohamad yang kelahiran Pulau Pinang berkata, itu perkara biasa dan sesiapa sahaja boleh mengecamnya sebab beliau juga ada mengecam orang.
“Jadi, ini bukan masalah. Sekarang, saya menjadi timbalan, akan ramai lagi yang kecam saya. Saya sedia hadapi kritikan orang,” kata Mohamad yang pernah menjadi anggota Dewan Rakyat.