
Program anjuran Dewan Muslimat Pas sebagai alternatif kepada 1 Malaysia
Muslimat PAS akan menganjurkan sebuah program ‘alternatif’ terhadap gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi program itu – dinamakan Sua Kasih Kita Bersaudara – Aiman Athirah Al Jundi berkata program ‘ala karnival’, program pada 9 Januari itu akan melibatkan pelbagai acara dan menekankan semangat persaudaraan dan anti-perkauman.
Menurut Aiman (kanan), idea melaksanakan program itu timbul atas perasaan tidak percaya slogan 1Malaysia yang didakwa mengamalkan dasar perkauman yang sempit.
“Slogan 1 Malaysia bermotifkan politik semata-mata, jika dilihat perdana menteri menggunakannya untuk parti BN manakala Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pula mengamalkan 1 Melayu (Malayu dahulu),” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.
Aiman yang juga ketua penerangan dewan itu berkata, Muslimat PAS mahu memberikan penekanan bahawa slogan yang dianjurkan mereka tidak akan menjadi sekadar satu slogan dan agenda parti politik.
Program sehari suntuk itu akan diadakan di Tapak Kompleks Pendidikan Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Antara pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung seperti lelongan amal koleksi peribadi pemimpin, khidmat kesihatan, pertandingan foto dan slogan, cabutan bertuah, pameran dan jualan.
Acara kemuncak adalah pelancaran majlis logo `Kita Bersaudara` dan kumpulan sukarelawan bagi menjelaskan idea persaudaraan merentas bangsa dan fahaman politik – dinamakan Skuad H13 Kita Bersaudara – yang akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Walau siapa pun kita, kita adalah bersaudara, kita tidak memilih bulu, warna kulit dan agama, inilah yang kita nak suarakan, konsep ini perlu diterapkan oleh kerajaan berbanding 1 Malaysia” katanya.
Aiman berkata, program ini merupakan kesinambungan kepada kempen “Kita Bersaudara” yang dilancarkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 31 Disember 2008.
M.k









