Banjir di Kedah: K.Pasu Dalam Kenangan


Pekan Kepala Batas menjadi lautan banjir pertama kali dalam sejarah

Bencana paling buruk bagi daerah Kubang Pasu

KUBANG PASU – Keadaan banjir di daerah ini bertambah buruk selepas masuk hari ketiga apabila lebih banyak kawasan dilanda banjir dan beberapa jalan utama juga ditutup untuk kenderaan ringan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lebih ramai menjadi mangsa banjir malah beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah ditenggelami banjir turut berlaku sedemikian sejak malam kelmarin.

Antara kawasan terbaru yang turut mengalami banjir di daerah ini termasuklah kawasan Taman Mahsuri, Taman Melor, Kampung Muhibah, Kepala Batas, dan beberapa kawasan lain.

Sinar Harian turut dihubungi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh mengenai perkembangan semasa berhubung banjir yang melanda kawasan berkenaan sehingga tengah hari semalam.

Pengarahnya, Ismail Wan Teh berkata, sehingga jam 12 tengah hari semalam, sebanyak dua pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Dewa dan Dewan Kodiang.

Beliau berkata, lebih 50 keluarga dipindahkan berikutan keadaan banjir yang semakin teruk kira-kira 14 kampung dalam DUN berkenaan.

Menurutnya, jalan di Padang Sera menuju ke Kampung Siputeh juga terputus perhubungan dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

“Bagaimanapun masih terdapat 55 keluarga di Kampung Siputeh, Kampung Pulau dan Kampung Seberang memerlukan bantuan dari segi keperluan asas kerana terputus bekalan makanan,” katanya.

Jalan utama turut ditutup

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian juga mendapati beberapa jalan seperti Jalan Kepala Batas-Jitra arah Kepala Batas menuju ke Alor Setar juga ditutup buat kenderaan ringan dan hanya dibuka sebelah laluan sahaja iaitu untuk kedua-dua laluan sama ada menuju ke Jitra mahupun Alor Setar.

Malah, Jalan Tanah Merah menuju ke Wang Tepus juga terputus hubungan selain jalan menuju ke Pekan Jitra.

Penutupan jalan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan termasuklah jalan di Taman Tengku Maheran yang digunakan sebagai laluan alternatif untuk ke Kepala Batas dan sekitar.

Sambut Deepavali dalam khemah

Dalam pada itu, Sinar Harian turut menemui sebuah keluarga kaum India yang membina khemah di tepi Jalan Istana atau Jalan Tanjung Kapur di sini selepas rumah mereka di Kampung Muhibah turut ditenggelami air sejak petang kelmarin.

M Kalidas, 45, berkata, banjir di Kampung Muhibah mula naik petang kelmarin dan mereka sekeluarga terpaksa membina khemah di tepi jalan memandangkan masih tidak ada pusat penempatan berdekatan akibat beberapa jalan di sini terputus hubungan.

Menurutnya, dia bersama ahli keluarga lain terpaksa tinggal dalam khemah untuk menyelamatkan diri dari banjir.

“Malah, sebanyak 50 lembu peliharaan saya juga turut dipindahkan dan diikat di pokok getah berdekatan khemah tempat kami tinggal buat sementara waktu,” katanya.

Menurutnya lagi, hasil pendapatan menjual susu lembu juga terjejas akibat banjir kali ini dan menyifatkan kejadian banjir kali ini merupakan kejadian paling buruk berbanding pada 2005.

Beliau yang juga Pengerusi JKKKP Kampung Muhibah itu berkata, sehingga kini sebanyak 68 keluarga di kampung tersebut terpaksa tinggal di merata-rata tempat selepas rumah mereka semua ditenggelami air.

“Kami masih belum berpindah ke pusat pemindahan sementara waktu berikutan banyak jalan terputus dan tidak dapat ke mana-mana.

“Malah, saya bersama keluarga buat masa ini terpaksa menyambut Deepavali dalam khemah sahaja,” katanya.

Sementara itu, isterinya, M Hemalatha, 42, berkata, semua persiapan Deepavali untuk keluarganya itu sudah siap namun semuanya tidak dapat diselamatkan memandangkan air naik begitu cepat.

Menurutnya, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan anak beranak mereka dan membina khemah untuk penempatan sementara waktu.

“Semua kuih-muih raya dan baju ditenggelami air dan rosak begitu sahaja, walaupun sedih namun kami semua bersyukur kerana nyawa selamat,” katanya.

About these ads
Post a comment or leave a trackback: Trackback URL.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: